BELASUNGKAWA : DEMOKRASI - LAHIR 31HB OGOS 1957 MATI 28HB APRIL 2012
Menurut Kamus Dewan, Edisi Keempat terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka 2010, Demokrasi bermaksud pemerintahan oleh rakyat atau
wakil yang dipilih di dalam pilihanraya. Di dalam konteks Malaysia pula, ianya
berkaitrapat dengan Parlimen iaitu pemerintahan demokrasi yang dijalankan
secara perwakilan. Negara kita memilih untuk mempraktikkan sistem ini kerana
percaya akan prinsip keadilan yang menjadi teras teori demokrasi, selain ianya
adalah selari dengan tuntutan agama Islam.
Oleh yang demikian, pada Pilihanraya Umum (PRU)
ke-12 yang lalu, seperti pilihanraya-pilihanraya yang sebelumnya, rakyat memilih perwakilan masing-masing untuk
mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Parlimen. Untuk pengetahuan
pembaca, cara negara kita memilih wakil bagi pihak rakyat semasa pilihanraya
tersebut adalah dengan memilih calon yang mendapat undi majoriti
(first-past-the-post). Ini bermakna, di
dalam mentadbir negara, kita rakyat Malaysia bersetuju untuk mengikut cara
tadbiran pihak yang majoriti . Mengikut keputusan pilihanraya ke-12 tersebut, majoriti
rakyat memilih Barisan Nasional untuk mentadbir mereka sebagai Kerajaan
Persekutuan Malaysia. Sementara diperingkat negeri ada majoriti rakyat memilih
pakatan DAP-PKR-PAS mewakili mereka di peringkat Kerajaan Negeri dan ada pula
yang memilih Barisan Nasional.
Para pembaca yang budiman, jika dirujuk kembali
definisi demokrasi yang dikupas secara ringkas seperti di atas maka terbuktilah
bahawa demokrasi di negara kita sudah mati. Ini terjadi kerana pergerakan
Bersih 1, 2.0 dan 3.0, suatu fahaman minoriti di dalam minoriti, berjaya
membawa agenda mereka ke pentas dunia seolah-olah permasalahan mereka adalah
permasalahan majoriti rakyat Malaysia. Sedangkan, kita semua tahu masalah
berkenaan dengan “pengiraan undi” hanya berkait rapat dengan ahli politik
sahaja, suatu golongan yang mewakili
tidak sampai 0.1 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia.
Majoriti rakyat masih terbelenggu dengan
masalah-masalah asas sebagai contoh di kawasan pedalaman ada rakyat yang masih
terbelenggu dengan isu air bersih, isu pemasaran hasiltani, isu kemiskinan
tegar, isu kenaikan harga minyak bagi nelayan dan lain-lain. Sementara bagi
majoriti rakyat di kawasan bandar pula isu-isu yang membelenggu mereka adalah
isu gaji minimum yang rendah, isu dadah, isu moral, isu peluang pekerjaan dan
perniagaan, isu rasuah dan lain-lain. Ini adalah isu-isu sebenar rakyat, ianya
berbentuk realiti di mana ada di antara isu-isu ini yang membelenggu ahli-ahli
politik itu sendiri.
Tanyalah kepada diri sendiri di manakah para pemimpin
Bersih 3.0 semasa diri anda terbelenggu dengan masalah mencari pekerjaan atau
masalah bebanan hutang yang melampau atau semasa tercari-cari wang untuk
melanjutkan pelajaran ? Mereka tidak
nampak rupa, tetapi apabila mereka menghadapi masalah untuk memenangi
pilihanraya yang menjadi karier mereka maka diri andalah yang mereka cari.
Sedarlah rakyat
Malaysia bahawa kita sekarang hidup di dalam suatu zaman yang memerlukan kita
membuat pilihan. Tidak kira apa jenis aktiviti yang diceburi samada seni, sukan
mahupun di dalam urusan hidup seharian, kita di dorong untuk memberi dan
menunjukkan sokongan kepada sesebuah pihak.
Di dalam sukan bolasepak di dalam atau di luar
negara misalnya, para peminat sukan bolasepak wajib memilih pasukan mana yang
mahu mereka sokong. Di dalam cabang seni pula diwujudkan rancangan-rancangan
berbentuk realiti di mana rakyat Malaysia disogok supaya menyokong bintang
pilihan mereka.
Perkara ini tidak terhenti di situ sahaja,
berbagai-bagai aktiviti diwujudkan bagi menyemai kesetiaan kepada pasukan atau
bintang pilihan mereka. Di suatu sudut perkara ini adalah positif demi memupuk
semangat berpasukan dalam mencapai kemenangan. Namun, di suatu sudut yang lain
kita harus berwaspada kerana masyarakat sebenarnya sedang dipupuk dengan sikap
fanatik.
Erti fanatik di dalam kamus dewan bahasa dan pustaka
adalah merujuk kepada orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau
pendirian. Kebiasaanya sokongan yang diberikan adalah dalam tahap melampau dan
membabi buta. Sikap fanatik akan menyebabkan seseorang tidak lagi berupaya
menggunakan akal dan fikiran untuk membentuk keputusan mengikut kemahuannya
sendiri. Demi pilihan yang telah dibuat, walau seburuk mana individu atau
pasukan yang disokong mereka akan tetap mengatakan bahawa itulah yang terbaik.
Berbagai hujah dan alasan yang tidak masuk akal direka demi mempertahankan
pasukan atau bintang mereka.
Demikianlah juga senario di dalam kancah politik
negara. Yang lebih berbahaya adalah para peminat sesebuah parti politik bukan
sahaja bersikap fanatik malah ada yang menuju ke arah sikap ekstremisma. Masih
hangat lagi di dalam ingatan kejadian di negeri Perak semasa kemuncak kemelut
perlembagaan negeri tersebut baru-baru ini. Seorang penyokong sebuah parti
politik tergamak tidur di atas jalanraya dan menghalang kereta Sultan Perak
dari bergerak. Perkara ini terjadi semata-mata untuk menyatakan ketidakpuasan
hati mereka terhadap keputusan Sultan Perak melantik Menteri Besar baru yang
bukan dari kalangan pemimpin parti mereka.
Tanpa usul periksa penyokong ini merasakan bahawa
parti mereka telah dianiaya. Sikap ekstrem ini menjadikan mereka terlupa untuk
membuat kajian berkenaan kuasa Sultan Perak yang terkandung di dalam
Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Kuasa eksklusif Sultan di dalam melantik
Menteri Besar untuk mentadbir negeri Baginda juga dibelakangkan demi emosi
ekstrem untuk menyokong parti politik pilihan mereka. Malah fungsi Sultan Perak
sebagai simbol agama Islam juga sanggup dicemar meskipun parti yang disokong
individu tersebut membawa ideologi perjuangan menuju negara Islam mengikut
fahaman mereka.
Hal yang begitu juga boleh kita temui semasa
demonstrasi Bersih 3.0 tempohari. Saya percaya rata-rata daripada para
pendemonstran Bersih 3.0 tidak dapat mengaitkan betapa pentingnya mengemaskini
daftar pengundi dengan kehidupan mereka atau peri pentingnya mengecat ibujari
dengan dakwat hitam dengan pencarian rezeki mereka sehari-hari. Mereka berada
di situ semata-mata akibat dari sikap fanatik mereka. Dan, ini jelas tidak sama
sekali membantu melahirkan negara Malaysia yang berdaya maju dan disegani musuh
dan rakan.
Akibat dari sikap mereka yang fanatik dan ekstrem
maka mereka tidak sedar bahawa tuntutan-tuntutan mereka itu sudahpun
direalisasikan oleh pihak yang bertanggungjawab. Ingatlah, bahawa parti politik
berdiri di atas suatu asas ideologi. Ideologi ini dikongsi sesama para pemimpin
yang mengasaskan parti tersebut. Seterusnya, ianya diserap kepada penyokong
akar umbi dijadikan sebagai wadah perjuangan parti. Ianya ada kaitan dengan
siasah masyarakat, namun ia sama sekali tiada kaitan dengan agama kerana agama
diturunkan untuk menyelamatkan individu daripada kebinasaan dan kesengsaraan.
Agama mampu menyelamatkan sesebuah bangsa, tetapi parti politik jika tidak kena
cara boleh menyebabkan sesuatu bangsa itu musnah dan tidak relevan lagi dalam
pembangunan negaranya.
Hakikatnya, parti politik ditubuhkan dengan tujuan
utama memenangi pertandingan pilihanraya. Untuk tujuan tersebut, para pemegang
watak utama di dalam sesuatu parti perlu melalui proses-proses asas untuk
memenangi pertandingan pilihanraya. Di antaranya adalah melakukan peperangan
saikologi supaya persepsi para pengundi mengatakan mereka dipihak yang benar.
Untuk tujuan itu, terdapat bermacam-macam cara dan teori yang diketengahkan
oleh pakar-pakar perang saikologi. Ianya adalah adat pertandingan, namun jika
ianya dilakukan secara ekstrem maka terciptalah teori politik matlamat
menghalalkan cara ala Machiavelli.
Di dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang
diamalkan di Malaysia, penubuhan parti-parti ini bukanlah menjadi suatu
kesalahan. Namun, ianya mestilah diamalkan dengan tahap kebertanggungjawaban
yang tinggi dan mengelak sikap fanatik dan ekstremisma. Perlu diingat sekali
lagi bahawa demokrasi berparlimen di Malaysia membawa maksud suara majoriti.
Jika parti anda mewakili golongan yang minoriti maka lakukanlah tanggungjawab
anda kepada golongan minoriti tersebut kerana di dalam sistem demokrasi setiap
golongan mempunyai tugas dan peranannya masing-masing dengan tujuan utama
supaya semua pihak mendapat manfaat dari kemakmuran negara mereka.
Akhir sekali, para pemimpin utama parti-parti di
Malaysia mestilah menerima hakikat bahawa suara majoriti rakyat sudahpun
membuat pilihan iaitu untuk parti Barisan Nasional memerintah negara. Janganlah
kerana mahu menang pertandingan pilihanraya yang seterusnya maka suara majoriti
yang sudah membuat pilihan cuba dinafikan dengan lagak ekstremisma golongan
minoriti. Hormatilah keputusan majoriti. Mungkin mereka mahukan kesederhanaan.
Cubalah memahami denyut nadi rakyat mungkin majoriti mereka akan memberi anda
peluang untuk mentadbir negara di pilihanraya yang akan datang. Janganlah
mengguna kami rakyat Malaysia sebagai perkakas untuk tujuan karier anda. Yang
pasti negara ini milik rakyat Malaysia, bukan milik anda.
Oleh : Norali Bin Nordin,
TOLAK KEGANASAN DAN PERHIMPUNAN HARAM
TOLAK DAPig